KATA - KATA HIKMAT

GURU MAMPU MEMUPUK  SEMANGAT  PERPADUAN
Pendidikan bermatlamat untuk membina dan membangunkan potensi setiap murid tanpa mengira kaum, agama  dan bangsa. Matlamat ini bertepatan dengan  Gagasan 1Malaysia:  Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Guru  mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memupuk bibit-bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah lagi. Sekolah merupakan tempat kanak-kanak bersemuka dengan rakan-rakan tanpa mengira perbezaan warna kulit. Oleh itu, saya menaruh penuh keyakinan bahawa guru mampu menjana, menyemai dan memupuk  semangat  perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum sebaik mungkin.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

GURU BERPERANAN SEBAGAI AGEN PERUBAHAN
Peranan dan fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan Negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat.
Y.BHG. DATO ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

GURU BERPERANAN MEMUPUK SEMANGAT PERPADUAN
Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.
Y.BHG.TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD.DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

GURU MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG INOVATIF DAN BERKETERAMPILAN
Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.  Guru memainkan peranan yang utama dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

PRINSIP KESERAKANAN HARUS WUJUD DALAM DIRI PENDIDIK
Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.
Y.BHG.TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD.DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

HARAPAN YANG DISANDARKAN  OLEH MASYARAKAT ADALAH TINGGI
Warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut  sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah. Wahai guru, begitu tinggi harapan yang disandarkan oleh masyarakat kepada anda semua. Berikanlah tumpuan sepenuhnya terhadap tanggung jawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didikmu. 
Y.BHG. DATO ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

GURU PENJANA  TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
Guru perlu memelihara akhlak dan budi  pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang kerana guru penjana  Transformasi Pendidikan Negara. Sesungguhnya  Malaysia    amat memerlukan khidmat bakti para guru.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

GURU BERPERANAN MEMBENTUK AKHLAK MURID
Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan membentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik.
Y.BHG.TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD.DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

GURU AJEN PERUBAHAN
Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu.
Y.BHG. DATO ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

GURU PERLU MENYUBUR BUDAYA INOVASI DAN KREATIVITI
Guru-guru perlu lebih berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreratif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan murid-murid.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

GURU HARUSLAH MENJUNJUNG ASPIRASI NEGARA
Seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.
Y.BHG.TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD.DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

INSAN KEGIGIHAN DAN KECEKALAN YANG AMAT TINGGI
Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi. Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk,kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat ditingkatkan.
Y.BHG. DATO ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

GURU PERLU SENTIASA MENINGKATKAN ILMU DAN KEMAHIRAN
Guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

GURU HARUS BIJAK MEMBUAT REFLEKSI KENDIRI
Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.
Y.BHG.TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD.DOM
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

WARGA PENDIDIK MESTI JELAS DENGAN MISI DAN  MATLAMAT
Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa.
Y.BHG. DATO ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

GURU-GURU PERLU BERKOMITED TINGGI
Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa.
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA