PERUTUSAN HARI GURU 2011 MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN HARI GURU 2011
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-40



 “GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

 Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Pendahuluan

Tanggal  16 Mei setiap tahun  seluruh negara akan meraikan Hari Guru sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-40 pada tahun ini.

”Selamat  Hari Guru” dan  terima kasih  serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap  komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Memperingati hari besar  untuk guru membolehkan kita mengenal dan mengakui jasa guru tiada  tolok tandingnya.

Pemilihan tema  Hari  Guru tahun ini iaitu  “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”  pada saya amat tepat kerana guru merupakan  pemangkin dan penjana kepada transformasi negara, kerana  daripada
gurulah anak-anak kita mula mengenali dan mempelajari erti kehidupan.

 Tanpa  guru maka tidak adalah  pendidikan. Sentuhan  profesional yang bermartabat, penuh tanggungjawab dan berkualiti  membolehkan anakanak bangsa menerima proses pembelajaran yang terbaik dan bermutu.

Pelaburan segala ilmu pengetahuan, keperibadian, jati diri serta budaya Malaysia  oleh warga guru telah memungkinkan kemakmuran negara dapat dikecapi, malahan  tanpa guru yang mengajar kita bertatih mengenal A, B, C,  tidak akan mungkin kita boleh membaca, menulis  dan mengira sekarang.

Prestasi, keteladanan dan kepeloporan para guru yang telah ditunjukkan sejak sebelum merdeka sehingga kini  merupakan semangat dan tradisi perjuangan yang perlu terus diabadikan dalam diri guru. Cetusan semangat perjuangan ini sememangnya penentu harapan masa depan negara dan tidak  berlebihan jika dikatakan transformasi negara adalah dipertaruhkan kepada mereka yang bergelar sebagai guru.

Apabila kita mengenang semula sejarah, nilai-nilai kemuliaan guru boleh kita imbasi dengan cerita seorang  wanita bernama Hajjah  Zainon binti Munshi Sulaiman.  Kejayaan yang dicapai dalam pendidikan telah dikongsidengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk menjadikan masyarakat pandai membaca dan menulis, kerana ilmu merupakan kunci dalam membentuk jati diri.  Menyedari pentingnya ilmu,maka  Zainon yang kita lebih kenali sebagai  Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Usaha Ibu Zain meningkatkan pendidikan anak bangsa diteruskan apabila beliau mengasaskan sekolah agama petang, yang  juga  merupakan  sekolah agama perempuan pertama di Johor. Jasa Ibu Zain tambah
bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan  kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh mereka.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain telah mencurahkan setia bakti demi sebuah kemerdekaan. Tanpa usaha gigih seorang guru seperti Ibu Zain pasti kemerdekaan sukar dicapai. Usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan oleh  Allahyarhamah  Tan Sri Hajjah Zainon binti Munshi Sulaiman  dengan  ini menunjukkan guru  berperanan penting dalam  pembangunan negara. Sesungguhnya, guru menjana pemikiran untuk mengubah nasib bangsa  melalui pendidikan.

Kini, matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020  juga amat bergantung kepada keupayaan  dan kesungguhan  warga pendidik dalam  menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.  Tugas guru adalah untuk melaksanakan amanah dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.   Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguhsungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi. Saya yakin,  semua  guru sentiasa berusaha  ke arah  memberi pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan permintaan ibu bapa serta murid-murid. Berpaksi kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan,  pembangunan modal insan secara holistik melalui sistem pendidikan yang terancang  mampu untuk memacu dan mencipta kejayaan negara pada peringkat global. 

Kementerian Pelajaran  Malaysia (KPM)  telah merencanakan pelbagai dasar dan program dalam mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara.  Transformasi pendidikan perlu dilaksanakan agar terus relevan dengan keperluan negara dan antarabangsa.  Melalui transformasi ini, hasrat dan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju  dengan rakyat berkemahiran tinggi  mengikut acuan sendiri yang seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan dapat direalisasikan. 

Transformasi sistem pendidikan dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar relevan dengan tuntutan semasa.   Saya amat berharap guru  menjadi penyambut utama
dan melaksanakannya dengan bijaksana. Dalam konteks ini, kualiti guru perlu terus dipertingkatkan terutama aspek  pengetahuan dan kemahiran.  Usaha berterusan  amat wajar demi meningkatkan  lagi  kompetensi guru sebagai pelaksana utama kepada transformasi pendidikan negara.

Semua warga  pendidik  telah  sedia maklum dengan ungkapan  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),   yang merupakan teras kepada reformasi kepada cara kita bekerja.  Menyedari pentingnya pendidikan kepada rakyat,  maka  Pendidikan  telah dijadikan salah satu  Bidang Keberhasilan  Utama Negara.  Kejayaan  NKRA pada tahun lepas, sememangnya amat membanggakan KPM. Peningkatan jumlah murid dalam mengikuti Pendidikan Prasekolah,  pencapaian dalam literasi dan numerasi (LINUS) yang memberansangkan,  bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang bertambah dan bilangan Guru Besar yang mendapat insentif di luar jangkaan iaitu sebanyak  7 peratus serta pelaksanaan Program Pembangunan Sekolah  (SIP) yang telah berjaya menurunkan bilangan sekolah dalam Band 6 dan Band 7,  menunjukkan betapa hebatnya guru-guru di Malaysia ini.

Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada semua Pengetua, Guru Besar dan guru-guru yang telah bekerja keras memastikan  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)  mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebenarnya kejayaan NKRA ini,   adalah kejayaan kita semua  di mana  hasil kerja keras semua pihak terbabit.  Semoga usaha ini akan diteruskan lagi untuk pencapaian akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pendidikan bermatlamat untuk membina dan membangunkan potensi setiap murid tanpa mengira kaum, agama  dan bangsa. Matlamat ini bertepatan dengan  Gagasan 1Malaysia:  Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Guru  mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memupuk bibit-bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah lagi. Sekolah merupakan tempat kanak-kanak bersemuka dengan rakan-rakan tanpa mengira perbezaan warna kulit. Oleh itu, saya menaruh penuh keyakinan bahawa guru mampu menjana, menyemai dan memupuk  semangat  perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum sebaik mungkin.

Kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku dan pengaruh kuasa luar amat mencabar. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi
menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global.  Guru memainkan peranan yang utama dalam usaha
melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan.

Guru perlu menjadi pemain utama dalam menjana Model Baru Ekonomibagi melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi.   Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan  kemahiran yang diperlukan  untuk bersama-sama menjana transformasi dalam membangunkan pendidikan negara. Ingatlah bahawa peranan guru sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru perlu memelihara akhlak dan budi  pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang kerana guru penjana  Transformasi Pendidikan Negara. Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru. Muridmurid sayangilah guru anda, mereka umpama ibu dan ayah.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan ini akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”. “Terima kasih cikgu”.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei, 2011